| Laman Utama |
©2006 SMKKN
SMK Kuala Nerang diwujudkan setelah menyedari bahawa SMK Dato’ Syed Ahmad tidak mampu lagi menampung pertambahan pelajar yang meningkat saban tahun. Asalnya merupakan cawangan SMK Dato’ Syed Ahmad dengan menumpang di bangunan SK Kuala Nerang. Bermula 01 Januari 2000 merupakan detik bersejarah apabila sekolah ini dengan rasminya dijadikan sekolah baru dan dikenali sebagai SMK Kuala Nerang. Proses operasinya pula dipindahkan dari SK Kuala Nerang ke SK Tunku Abdul Rahman Putra dengan memulakan sesi pengajian pada sesi petang.
SMK Kuala Nerang memulakan operasinya dengan 28 orang kakitangan yang terdiri daripada 24 orang guru dan 4 orang staf sokongan manakala jumlah pelajarnya pula seramai 305 orang. Pengetua pertama yang menerajui pengurusan sekolah ialah Tuan Haji Pazil b Hj Jaafar bermula pada 1 Januari 2000 hingga 10 Mei 2001. Beliau kemudiannya bertukar ke SMK Bandar Darulaman dan tempat beliau digantikan oleh En. Sofaruddin b Hj Ismail. Tanggal 16 Mac 2003, berlaku pula perubahan kepimpinan apabila En. Sofaruddin b Hj Ismail bertukar ke Pejabat Pelajaran Daerah Kubang Pasu dan tempat beliau digantikan oleh Tuan Haji Mokhtar b Hashim yang sebelum itu bertugas sebagai pengetua di SMK Padang Terap.
Lima tahun menumpang di SK Tunku Abdul Rahman Putra pelbagai cabaran dan dugaan ditempuhi dengan penuh ketabahan. Pelajar kian meningkat saban tahun dan SK Tunku Abdul Rahman pastinya tidak mampu lagi menampung pertambahan itu. Menjelang 2005, SMK Kuala Nerang sekali lagi mencipta sejarah apabila operasinya berpindah ke premis tetap yang dibina dikawasan seluas 12.66 ekar berhampiran Kolej Mara Kuala Nerang. Bangunan baru dan canggih ini dengan kos RM 24 juta mempunyai pelbagai kemudahan yang sesuai untuk peningkatan ilmu melalui proses pengajaran dan pembelajaran sekaligus menjadikan SMK Kuala Nerang tapak kukuh ke arah melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Kini, 112 orang guru dan 11 orang staf sokongan sedang menabur bakti kepada 1824 orang pelajar. Seramai 286 orang daripada jumlah itu menginap di asrama yang tersedia dengan pelbagai kemudahan. Sesungguhnya, setelah melalui jerit payah dengan pelbagai cabaran dan dugaan, kini SMK Kuala Nerang mampu berdiri megah sebagai satu mecu tanda dalam bidang pendidikan di Daerah Padang Terap Pendang.